Wednesday, 29 October 2014

UNTUK PERHATIAN KELUARGAKU

Isu Saikoloji & Emosi: Bagaimanakah Harus Saya Menangani Kanser Payudara? Bagaimanakah harus saya menghadapinya? Ini adalah persoalan yang harus dijawab oleh seseorang individu yang menghidapi kanser payudara. Seseorang yang menghidap penyakit ini pastinya terpaksa berhadapan dengan krisis pada beberapa peringkat menangani penyakit tersebut. Pertamanya ialah apabila dimaklumkan bahawa mereka mengalami penyakit tersebut, kemudiannya sewaktu memulakan siri rawatan. Mereka juga akan menghadapi saat-saat yang memilukan apabila dimaklumkan rawatan yang diberikan tidak menunjukkan maklum balas yang memberangsangkan. Tidak itu sahaja, malah bagi mereka yang berjaya menjalankan rawatan serta pulih juga terpaksa berhadapan dengan kemungkinan serangan yang berulang. Dalam menghadapi situasi sedemikian, tiada perkataan yang tepat dapat digunakan untuk menggambarkan perasaan seseorang individu tersebut. Mereka seolah terhumban ke dalam dunia kenestapaan. Dalam keadaan ini, mereka akan diburu dengan pelbagai perasaan yang negatif seperti hilang rasa keyakinan pada diri sendiri, terkejut, rasa tidak ketentuan terhadap masa depan mereka dan sebagainya. Waktu-waktu sebeginilah, mereka harus berusaha untuk mendapatkan bantuan serta sokongan daripada kumpulan sukarelawan seperti Persatuan Kebajikan Kanser Payudara di Malaysia serta rakan taulan, saudara mara serta keluarga mereka sendiri. Adalah juga penting untuk seseorang individu yang mengalami penyakit ini mendapatkan pelbagai maklumat dalam menanganinya. Pastikan jugalah anda mendapatkan rawatan kesihatan yang terbaik dan jangan sekali-kali merasa takut untuk menjalankan rawatan dalam usaha memulihkan penyakit anda. Anda juga tidak haruslah berasa segan ataupun malu untuk mendapatkan kauseling profesional dalam membantu anda menangani masalah ini. Dengan bersikap secara positif, ianya akan menyumbang serta membantu anda dalam usaha untuk sembuh seperti sediakala. Sewaktu menjalani rawatan, komunikasi di antara anda dan pengamal perubatan serta pasukannya (teamwork) yang menguruskan anda adalah amat penting. Keupayaan serta penyediaan psikologi anda turut mempengaruhi respon serta sikap anda kepada rawatan yang dijalankan. Pastikan jugalah anda mendapatkan nasihat dan kaunseling daripada pakar kaunseling payudara yang terlatih. Mereka mempunyai peranan penting serta berupaya untuk membantu anda dalam waktu-waktu yang getir ini. Rasa ketakutan sewaktu mengalami penyakit ini tidaklah dapat disangkal mahupun dinafikan. Anda pastinya terfikir bagaimanakah kelak kehilangan payudara memberi kesan kepada hubungan anda dengan pasangan anda. Bagi mereka yang belum berkahwin pula, akan terfikirlah bagaimanakah pula respon serta sikap bakal pasangan hidup mereka terhadap bentuk fizikal mereka. Begitu jugalah dengan hubungan mereka dengan keluarga dan sahabat mereka ataupun mengenai jenis pakaian yang seeloknya dipakai oleh mereka. Semua ini bolehlah dibawa berbincang dengan kaunselor payudara ataupun kawan/ahli keluarga mereka yang rapat. Sesuatu yang penting ialah anda tidaklah harus disogokkan dengan harapan-harapan palsu. Malah, anda haruslah dimaklumkan akan kesan sampingan serta darjah ketidaksempurnaan hasil daripada menjalani pembedahan, kemoterapi ataupun radioterapi. Pemulihan fizikal selepas menjalani pembedahan termasuklah pemulihan kekuatan fizikal dan keupayaan untuk kembali kepada aktiviti sebelum mengalami penyakit ini. Tidak ketinggalan juga ialah keupayaan untuk menangani pemasalahan emosional serta yang berkait dengannya. Ini termasuklah menangani perasaan kehilangan payudara serta pengalaman menghadapi penyakit yang serius seumpama ini. Dalam keadaan ini, mendapatkan nasihat serta kaunseling adalah penting. Sesuatu yang harus kita berikan perhatian ialah bahawa penyakit ini tidaklah semata-mata memberikan kesan emosional kepada pesakit sahaja tetapi juga keluarga serta individu yang rapat dengan mereka. Mereka sebenarnya turut merasai bersama kepahitan para pesakit dalam menangani penyakit ini. Dan mereka-mereka ini juga haruslah mendapatkan nasihat serta kaunseling profesional dalam menghadapi saat-saat mencabar ini.

No comments:

Post a Comment